SHAH ALAM – Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Bukan Bebas MMAG Holdings Bhd berkuat kuasa 2 Januari lalu.
Bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim itu turut melupuskan keseluruhan pegangan sahamnya dalam syarikat berkenaan.
Maklumat tersebut didedahkan menerusi pemfailan syarikat kepada Bursa Malaysia yang memaklumkan Farhash meletakkan jawatannya atas faktor komitmen peribadi.
MMAG Holdings turut memaklumkan bahawa peletakan jawatan berkenaan tidak melibatkan sebarang pertikaian dengan lembaga pengarah dan tiada isu material lain yang perlu dimaklumkan kepada para pemegang saham.
Dalam pemfailan berasingan, Farhash juga dilaporkan telah melupuskan keseluruhan pegangan sahamnya melibatkan 462 juta unit saham melalui urus niaga perniagaan langsung pada 31 Disember 2025 sekali gus menamatkan kedudukannya sebagai pemegang saham utama syarikat tersebut.
Untuk rekod, bekas Pengerusi PKR Perak itu mula terlibat secara langsung dalam MMAG Holdings pada Mac tahun lalu selepas memperoleh kepentingan sebanyak 20 peratus dalam syarikat tersebut menerusi pembelian saham secara persendirian pada harga 40 sen sesaham.
Susulan kemasukan itu, beliau kemudiannya dilantik sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif, menandakan peranan strategiknya dalam hala tuju syarikat logistik berkenaan.
Ketika pengambilalihan kepentingan tersebut dilakukan, saham MMAG diniagakan pada paras sekitar 60 hingga 70 sen sesaham yang meletakkan nilai pasaran kumpulan itu melebihi RM1.5 bilion.
Susulan pengunduran tersebut, pergerakan saham MMAG menunjukkan penyusutan ketara sementara syarikat itu setakat ini belum mengumumkan sebarang pelantikan baharu bagi jawatan pengerusi.