Kelab penyokong Selangor dakwa jaringan JDT II ‘gol hantu’, kecam mutu pengadilan

Iklan
Jaringan yang menjadi kontroversi ketika aksi Liga A1 antara Selangor II dan JDT II.

KELAB Penyokong Bolasepak Selangor (SSFC) tampil menyuarakan bantahan dan mengecam mutu pengadilan dalam aksi Liga A1 Semi-Pro 2025/2026 yang melibatkan pertembungan antara Selangor II menentang Johor Darul Ta'zim II (JDT II), semalam.

Kelab itu dalam satu kenyataan berkata, bantahan tersebut susulan keputusan pengadil yang mengesahkan satu jaringan kontroversi buat pasukan pelawat di Stadium Majlis Perbandaran Sepang pada Isnin sekali gus mengundang kekalahan 0-1 kepada Selangor II dalam aksi liga A1 itu.

Iklan
Iklan

SSFC mendakwa, keputusan tersebut dianggap sangat meragukan dan tidak tepat secara teknikal, lebih-lebih lagi selepas pemerhatian di stadium serta semakan rakaman video dibuat.

“Pihak kami mendapati bola tersebut telah berjaya ditangkap dengan kemas oleh penjaga gol Selangor II, Azim Al-Alamin di atas garisan gol.

Iklan

“Namun, timbul persoalan mengapa jaringan tersebut disahkan oleh pengadil yang mempamerkan mutu pengadilan lemah,” kata SSFC dalam satu kenyataan di laman Facebook milik mereka.

SSFC turut menegaskan bahawa insiden sebegini merencatkan usaha untuk memartabatkan saingan Liga A1 ke arah tahap profesionalisme yang lebih tinggi.

Iklan

Menurut kelab penyokong itu lagi, kesilapan teknikal yang jelas tersebut bukan sahaja merugikan pasukan Selangor II, malah mencemarkan imej dan integriti kancah bola sepak tempatan secara keseluruhan.

“Insiden ‘gol hantu’ yang nyata seperti ini tidak sepatutnya berlaku ketika kita sedang berusaha menaikkan taraf liga,” tambah kenyataan itu lagi.