Pelbagai jenis, jenama alat mainan dewasa RM800,000 dirampas

Iklan
Wan Norizan (kiri) menunjukkan rampasan alat mainan dewasa yang dirampas dalam serbuan sebuah gudang di Taman Perindustrian Putra Puchong, Selangor. - Foto Sinar Harian/Mohd Halim Abdul Wahid

KELANA JAYA - Alat mainan dewasa (adult toys) bernilai RM800,000 bagi pasaran dalam talian yang disimpan di sebuah gudang di Taman Perindustrian Putra Puchong, Selangor dirampas.

Tindakan hasil maklumat dan risikan itu diambil Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur pada 30 September lepas.

Iklan
Iklan

Pengarah Kastam Kuala Lumpur, Wan Norizan Wan Daud berkata, pemeriksaan di gudang terbabit menemui 18,140 unit adult toys merangkumi lebih 30 jenis dan 20 jenama.

"JKDM telah menahan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an merupakan pemilik gudang.

Iklan

"Siasatan awal percaya alatan ini bagi jualan secara dalam talian yang dibawa masuk dari negara jiran," katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kastam Kuala Lumpur di sini pada Selasa.

Tambahnya, alatan itu diklasifikasikan sebagai Barang Larangan Mutlak di bawah Jadual Pertama, Butiran Kelima Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

Iklan

Dalam kes berlainan, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kuala Lumpur menyita sebuah kontena di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang yang membawa 373 unit 'moped bike' dan skuter lipat berkuasa elektrik.

Kata beliau, pemeriksaan mendapati moped bike berkapasiti 49cc dan skuter elektrik itu melibatkan anggaran nilai RM154,626 serta cukai RM93,940.

"Siasatan awal mendapati kontena tersebut membawa masuk dagangan dalam bentuk komponen terlerai dari China sebelum dibuat pemasangan di Lembah Klang.

"Pengimportan barangan ini memerlukan kelulusan serta permit import daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," ujarnya.