Neville desak United hentikan eksperimen jurulatih

Iklan
Neville

LEGENDA Manchester United, Gary Neville menggesa pihak pengurusan tertinggi kelab itu supaya menghentikan sebarang bentuk eksperimen dalam pelantikan jurulatih susulan pemecatan mengejut Ruben Amorim.

Pengendali kelahiran Portugal itu dipecat serta-merta pada Isnin kurang 24 jam selepas beliau secara terbuka mengkritik pihak atasan kelab berikutan keputusan seri 1-1 menentang Leeds United pada Ahad.

Iklan
Iklan

Keputusan untuk menamatkan kontrak Amorim sebenarnya telah dimuktamadkan pada Jumaat lalu selepas perbincangan antara Pengarah Bola Sepak, Jason Wilcox dan pengurus tersebut.

Amorim dilaporkan berkeras mahu mengekalkan falsafah permainan dan sistem tiga pertahanan kegemarannya walaupun pihak pengurusan mendesak agar pasukan bermain dengan corak bola sepak yang lebih menyerang.

Iklan

Neville berpendapat pencarian ketua jurulatih baharu selepas ini mestilah memfokuskan kepada individu yang benar-benar memahami 'DNA' bola sepak menyerang dan menghiburkan yang sinonim dengan United.

"Saya pada mulanya menyangka Manchester United akan menyesuaikan diri dengan baik menggunakan sistem tiga pertahanan, namun sebaliknya berlaku.

Iklan

"Ia sistem yang sukar, posisi 'wing-back' dan pemain di belakang penyerang memerlukan pakar. Kegagalan ini perlu dipikul oleh pengurus, pemain dan kelab kerana tidak melakukan rekrut yang tepat untuk sistem itu.

"Eksperimen ini mesti dihentikan. Sir Bobby Charlton pernah bercakap tentang apa itu Manchester United iaitu bola sepak yang berani, menarik, membariskan pemain muda dan menghiburkan penonton. United mesti ambil risiko dan menyerang.

"Kelab seperti Ajax dan Barcelona tidak akan mengubah identiti mereka untuk sesiapa pun, dan United perlu melantik pengurus yang sesuai dengan DNA kelab," kata Neville.

Susulan pemecatan itu, bekas bintang United, Darren Fletcher telah diberi tanggungjawab sebagai pengurus sementara, naik pangkat daripada peranan asalnya melatih skuad bawah 18 tahun (B-18).

The Red Devils kini menduduki tangga keenam Liga Perdana Inggeris, kedudukan yang jauh lebih baik berbanding penamat di tempat ke-15 musim lalu.

Neville optimis dengan pendekatan yang betul, United mampu kembali mencabar slot ke Liga Juara-Juara musim depan.

"Keutamaan United sekarang adalah memastikan pemain seperti Matthijs de Ligt, Harry Maguire dan Kobbie Mainoo kembali cergas secepat mungkin, serta menunggu kepulangan pemain dari Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).

"Liga tahun ini sedikit di bawah purata, jadi saya rasa United masih berpeluang ke Liga Juara-Juara. Mereka perlukan jurulatih berpengalaman dan kembali kepada sistem empat pertahanan dengan pemain sayap yang boleh menyerang," ujarnya.

Neville turut menjangkakan Fletcher tidak akan meneruskan sistem tiga pertahanan apabila United bertandang ke Turf Moor menentang Burnley.

"Saya terkejut sistem tiga pertahanan itu tidak menjadi, tetapi apabila melihat mereka bermain dengan empat pertahanan (menentang Newcastle), ia kelihatan lebih serasi.

"Saya tidak percaya Fletcher akan menggunakan tiga pertahanan di Burnley. Dia kemungkinan besar akan kembali kepada empat pertahanan, dua pemain tengah, seorang perancang, dua pemain sayap dan seorang penyerang," ujarnya.