Visi, kesungguhan Selangor FC pikat hati Pan-gon

Iklan
Kim Pan-gon

KEYAKINAN terhadap visi yang jelas serta kesungguhan luar biasa yang ditunjukkan oleh pengurusan Selangor FC menjadi faktor utama Kim Pan-gon memilih untuk menyertai skuad Gergasi Merah.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu secara rasmi diumumkan sebagai pengendali baharu Selangor pada Isnin sekali gus meleraikan teka-teki mengenai destinasi baharu beliau selepas meninggalkan kancah bola sepak Korea Selatan baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Menurut Pan-gon, beliau melihat Selangor FC mempunyai aspirasi yang selari dengan objektif peribadinya sebagai seorang jurulatih selain kagum dengan pemahaman kelab tersebut terhadap falsafah kepimpinan yang ingin dibawanya.

“Keputusan saya menyertai Selangor FC dibuat berdasarkan keyakinan terhadap visi dan kesungguhan kelab. Mereka telah menunjukkan komitmen yang luar biasa serta pemahaman mendalam terhadap falsafah dan kepimpinan yang saya akan bawa.

Iklan

“Selain itu, sasaran dan objektif kelab selaras dengan aspirasi peribadi saya sebagai seorang jurulatih,” katanya.

Pan-gon bukanlah nama asing dalam arena bola sepak tempatan. Beliau sebelum ini mencipta fenomena apabila berjaya melonjakkan ranking Harimau Malaya dari kedudukan ke-154 ke-134 dunia antara tahun 2022 hingga 2024.

Iklan

Malah, sentuhan magisnya turut menamatkan penantian 42 tahun Malaysia untuk layak ke Piala Asia secara merit, pencapaian yang mengangkat semula imej bola sepak negara di pentas Asia.

Mengulas mengenai corak permainan yang bakal diterapkan, Pan-gon menegaskan beliau akan mengekalkan falsafah yang memberi fokus kepada pemain dengan menekankan latihan berkualiti serta analisis taktikal yang terperinci.

Jelasnya, gabungan pemain berpengalaman dan tenaga muda dalam skuad Selangor dilihat seimbang, namun menuntut disiplin dan profesionalisme tinggi bagi memastikan setiap individu berfungsi secara optimum.

“Pasukan akan berusaha menampilkan aksi berintensiti tinggi dan agresif bagi menghadiahkan sebanyak mungkin kemenangan kepada penyokong seterusnya membangkitkan rasa bangga mereka terhadap kelab.

“Saya amat menghargai kebanggaan yang mendalam dan sokongan penyokong Selangor FC terutama di Stadium MBPJ sebelum ini yang juga memberi inspirasi kepada saya untuk ke sini,” ujarnya.

Sebelum kembali ke Malaysia, Pan-gon melakar sejarah peribadi apabila membantu Ulsan HD FC menjuarai K League 1 bagi tahun 2024, menjadikan beliau individu pertama memenangi liga tersebut sebagai pemain dan ketua jurulatih bersama kelab sama.