KUALA TERENGGANU – Jenazah penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Allahyarham Syakirah Hanan Mazli, 25, yang maut dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubur Besar Kuala Bedah pada Isnin.
Jenazah Allahyarhamah yang selesai menjalani proses bedah siasat kira-kira jam 10.45 malam tiba di Masjid Ibadurrahman, Kampung Kuala Bekah sekitar jam 11.10 malam untuk disolatkan.
Jenazah kemudiannya dibawa ke tanah perkuburan dan dikebumikan kira-kira jam 12.30 tengah malam dengan kehadiran hampir 1,000 ahli keluarga, saudara-mara, rakan serta penduduk setempat.
Bapa Allahyarhamah, Mazli Yusoh, 51, berkata, beliau bersyukur kerana keadaan jenazah anaknya sempurna dan urusan pengebumian berjalan dengan lancar.
"Saya bersyukur kerana urusan pengebumian dipermudahkan dan jenazah anak saya selamat dikebumikan.
"Alhamdulillah, jenazah anak sangat comel, hanya lebih kepada kecederaan dalaman dan hanya sedikit cedera pada wajah," katanya ketika ditemui di tanah perkuburan di sini.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Allahyarhamah Syakirah Hanan maut selepas kereta Perodua Viva yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah Honda Jazz dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Pelajar Semester 2, Diploma Pascasiswazah Pendidikan di Fakulti Pengajian Islam Kontemporari itu dijadualkan menjalani latihan praktikal sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wataniah, Jerteh, Besut bermula Mac depan.