ALOR SETAR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah mereman seorang bekas pegawai daerah bagi membantu siasatan kerana disyaki memberi keterangan bercanggah dalam satu kes perbicaraan yang melibatkan Ketua Bahagian Kejuruteraan sebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Ketua Bahagian Kejuruteraan berkenaan telah dituduh pada Disember 2021 berkaitan pelantikan sebuah syarikat milik saudara terdekatnya untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan jalan.
Perintah reman dua hari hingga Selas terhadap pesara kerajaan itu dikeluarkan Majistret Eliana Ismail selepas permohonan dibuat oleh SPRM di Mahkamah Majistret Alor Setar di sini pada Isnin.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia dalam lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira 11.30 pagi pada Ahad ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kedah.
"Siasatan awal mendapati suspek telah memberikan keterangan yang tidak selaras di mahkamah berbanding keterangan bertulis yang diberikan sebelum ini kepada SPRM Kedah.
"Semasa keterangan diambil pada 2021, suspek memegang jawatan sebagai Setiausaha Majlis Perbandaran Kulim,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 27(2) Akta SPRM 2009. - Bernama