Pemandu mabuk langgar warga emas dijamin isteri

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai mangsa berusia 67 tahun yang merupakan penjalan kaki disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Gambar kecil: Abdul Rozak

GEORGE TOWN – Pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kemalangan maut membabitkan seorang pejalan kaki warga emas di Jalan Lembah Permai, Tanjung Tokong di sini pada malam Ahad telah dilepaskan dengan jaminan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, lelaki warga asing berusia 51 tahun itu dibebaskan selepas isterinya yang merupakan warga tempatan tampil sebagai penjamin.

Iklan
Iklan

Menurutnya, suspek sebelum ini ditahan bagi siasatan lanjut selepas ujian saringan mendapati dia disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had dibenarkan.

“Suspek telah dilepaskan dengan jaminan polis dan siasatan masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Abdul Rozak

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, mangsa berusia 67 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas tercampak ke atas jalan raya akibat pelanggaran tersebut.

Iklan

Hasil siasatan awal mendapati SUV berkenaan sedang bergerak dari arah Jalan Mount Erskine menghala ke Jalan Tanjung Bungah sebelum melanggar mangsa yang sedang melintas dari kiri ke kanan jalan.

Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke atas permukaan jalan dan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Polis kemudiannya mengesahkan ujian saringan kandungan alkohol yang dijalankan ke atas pemandu SUV mendapati lelaki terbabit disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had dibenarkan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian.