JASIN - Polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita selepas disyaki memiliki senjata api dan amunisi tanpa lesen dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Bemban di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, serbuan tersebut dilakukan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin sekitar jam 5.30 petang hasil maklumat awam.
Menurutnya, hasil serbuan membawa kepada penahanan dua lelaki warga tempatan berusia 54 dan 45 tahun serta seorang wanita berusia 22 tahun.
“Polis turut merampas sepucuk senjata api jenis ‘shotgun’ bersama beberapa butir amunisi yang diletakkan di atas meja di bawah garaj rumah berkenaan.
"Turut dirampas ialah satu unit udi senjata api jenis ‘shotgun’ berwarna coklat, satu unit penghadang tangan senjata api, satu unit tali pinggang peluru, satu unit sarung senjata api serta 10 butir kelongsong peluru jenis 12 bore berwarna putih selain beberapa butir kelongsong peluru,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua lelaki terbabit masing-masing mempunyai tiga dan tujuh rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah, manakala wanita terbabit tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
"Ketiga-tiga mereka kini direman selama tiga hari sehingga 7 Januari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata api tanpa lesen.
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.