BANTING - Seorang lelaki maut ditembak dalam kejadian di sebuah restoran makanan segera di sini pada Ahad.
Difahamkan, kejadian kira-kira jam 10 malam itu berlaku semasa mangsa sedang makan di restoran terbabit.
Sepasukan polis yang menerima maklumat kejadian telah tiba di lokasi sebelum kawasan terbabit dikawal rapi daripada kemasukan orang awam.
Kawasan itu juga telah menjadi 'tumpuan' orang awam yang memberhentikan kenderaan bagi mengetahui kejadian yang berlaku.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian mendapati kawasan itu telah disekat dengan kawalan ketat polis bagi pasukan forensik menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian.
Turut berada di lokasi ialah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din dan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi.
Kelihatan Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berada di lokasi.
Difahamkan juga, suspek dipercayai lelaki yang menunggang motosikal dan masih diburu polis.
Insiden itu turut tular di media sosial Facebook dan menerima pelbagai reaksi warganet.
Dimaklumkan, satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan pihak polis berhubung insiden terbabit.