LEGENDA Liverpool, Jamie Carragher menjangkakan bintang sensasi, Mohamed Salah akan kekal di Anfield pada jendela perpindahan kali ini, namun bakal memulakan fasa 'perpisahan panjang' dengan kelab itu.
Salah yang kini sedang beraksi bersama Mesir di Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), tidak membarisi kesebelasan utama Liverpool sejak akhir November lalu.
Terdahulu, Salah mencetuskan kontroversi bulan lalu apabila mendakwa dirinya seolah-olah dianiaya susulan prestasi buruk pasukan yang tewas sembilan daripada 12 perlawanan, sebelum dia digugurkan daripada tiga perlawanan berturut-turut.
Sepanjang ketiadaannya dalam senarai utama, skuad kendalian Arne Slot berjaya melakar rekod tanpa kalah dalam lapan perlawanan dan kini menduduki kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris.
Pencetak gol ketiga terbanyak dalam sejarah kelab itu hanya dimasukkan sebagai pemain gantian ketika seri 1-1 menentang Sunderland dan kemenangan 2-0 ke atas Brighton susulan kecederaan awal Joe Gomez.
Carragher menerusi kolumnya di The Telegraph menegaskan bahawa Liverpool tidak mampu melepaskan Salah pada Januari memandangkan krisis kecederaan yang melanda pasukan, termasuk penyerang mereka Alexander Isak.
"Adakah Mohamed Salah masih di Liverpool pada 1 Februari 2026 atau 1 September 2026? Ya dan tidak.
"Memandangkan situasi kecederaan Liverpool susulan Alexander Isak patah kaki, kelab tidak boleh membenarkan Salah pergi pada jendela Januari.
"Namun, beberapa bulan akan datang mungkin akan menjadi satu perpisahan yang panjang buat Salah," tulis Carragher.