Lelaki ditahan bersama 130 bekas vape berisi cecair dadah

Iklan
Bekas vape berisi cecair dadah jenis syabu yang dirampas daripada suspek.

BUKIT MERTAJAM – Seorang lelaki ditahan bersama 130 unit bekas vape berisi cecair dadah jenis syabu dalam satu serbuan di sebuah rumah di kawasan Bukit Minyak di sini pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, kejayaan itu hasil risikan dan maklumat yang diperoleh oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah SPT sebelum menyerbu rumah berkenaan kira-kira jam 10.20 malam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui 130 unit vape cartridge lutsinar yang mengandungi cecair disyaki dadah jenis syabu seberat 4,550 mililiter (ml).

“Dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM45,500 dan boleh digunakan sehingga 300 orang penagih.

Iklan

“Hasil siasatan mendapati lelaki berkenaan aktif mengedarkan dadah tersebut sejak dua bulan lalu dan dipercayai untuk pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, Helmi berkata, tindakan perlucutan harta turut diambil terhadap suspek mengikut Akta Dadah Berbahaya 1988, dengan penyitaan dua kereta dan pelbagai barangan kemas yang dianggarkan bernilai RM429,500.

Iklan

Katanya, semakan mendapati suspek berusia 42 tahun dan mempunyai sembilan rekod lampau bersabit kesalahan jenayah serta satu kesalahan berkaitan dadah.

“Suspek kini direman selama tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan,” tambahnya.