RAUB – Seorang juruteknik kilang yang dilaporkan hilang selepas dipercayai dihanyutkan arus deras di Pusat Rekreasi Jeram Besu, Sega di sini ditemukan lemas selepas empat hari operasi pencarian.
Mayat Mohamat Firdarus Jumaidi, 26, ditemui oleh pasukan bomba jam 3.40 petang Ahad, kira-kira 700 meter dari lokasi kejadian di Lubuk Biara.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, mangsa ditemui terapung sebelum dibawa menaiki bot ke Pos Kawalan Operasi Bomba.
"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut," katanya dalam satu pada Ahad.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan pelbagai agensi di tiga lokasi iaitu tebing sungai, di dalam air dan sepanjang aliran sungai.
“Pasukan bomba dibantu Unit Selam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Unit K9, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Bomba Sukarela (PBS) serta orang awam,” jelasnya.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari Khamis, Mohamat Firdarus dipercayai turun ke kawasan jeram untuk mandi.
Ketika kejadian, isteri mangsa yang berada di lokasi bersama penduduk setempat berusaha mencari mangsa, namun gagal.
Susulan itu, satu laporan polis dibuat pada jam 2.16 petang sebelum pasukan penyelamat digerakkan ke lokasi bagi melaksanakan operasi SAR.