KUALA KRAI - Kerja-kerja baik pulih jambatan gantung yang runtuh di Kampung Chatel Damai, Lata Rek di sini akan bermula hujung Januari ini sebagai langkah segera memastikan keselamatan penduduk.
Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Negeri Kelantan, Jasri Kasim berkata, tindakan diambil sementara kerajaan menilai keperluan sebenar bagi menggantikan jambatan kayu itu kepada jambatan konkrit yang boleh dilalui semua kenderaan.
“Keutamaan sekarang ialah memastikan jambatan dibaiki dan selamat untuk digunakan.
“Sebab itu kerja baik pulih jambatan gantung akan dimulakan hujung Januari ini,” katanya kepada pemberita pada Ahad.
Menurut beliau, kerja pembaikan melibatkan penggantian kabel besi serta lantai kayu dengan anggaran kos RM400,000.
“Penilaian teknikal mendapati struktur asas jambatan termasuk batu konkrit pemegang tali masih kukuh dan boleh terus digunakan,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau berkata, perancangan pembinaan jambatan konkrit turut akan dibuat sebagai penyelesaian jangka panjang bergantung kepada kehendak masyarakat setempat, namun mengakui tempoh pelaksanaannya lebih lama berikutan proses perancangan, penilaian kos serta pengambilan tanah.
“Penilaian kos pembinaan jambatan konkrit adalah lebih tinggi dan ketika ini masih diperhalusi bersama Pejabat Tanah dan Galian serta Jabatan Pengairan dan Saliran.
“Esok juga saya akan turun ke lapangan bertemu penduduk bagi mendapatkan pandangan mereka,” katanya.
Beliau berkata, cadangan berkenaan juga akan segera dibawa ke ibu pejabat ICU seawal Isnin bagi mendapatkan anggaran bajet awal sebelum proses perolehan kerja dilaksanakan.
Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan peruntukan disediakan bagi menggantikan segera jambatan gantung yang runtuh pada Khamis lalu.
Dalam kejadian jam 2 petang itu, lebih 50 tetamu yang menghadiri majlis kahwin terjatuh ke dalam sungai dengan seorang lelaki patah kaki akibat terkena batu, manakala kanak-kanak cedera di bahagian kepala selain tiga lagi alami luka ringan selain sesak nafas.