JAKARTA – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menjelaskan keputusan kerajaan tidak mengisytiharkan status bencana nasional susulan beberapa bencana alam yang melanda wilayah Sumatera, melibatkan hanya tiga wilayah iaitu Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat berdasarkan pertimbangan kemampuan negara dalam menangani bencana secara menyeluruh serta skala kawasan yang terjejas.
“Masih ada pihak yang mempersoalkan mengapa status bencana nasional tidak diisytiharkan. Perlu difahami, Indonesia mempunyai 38 wilayah pentadbiran. Bencana ini hanya melibatkan tiga wilayah, manakala masih terdapat 35 wilayah lain yang tidak berdampak ,” katanya.
Prabowo berkata demikian ketika meninjau kawasan terjejas bencana di Kabupaten Aceh Tamiang, Aceh, pada Khamis.
Beliau menegaskan, penetapan status bencana nasional perlu mengambil kira keluasan dan impak keseluruhan bencana, dan bukan semata-mata berdasarkan keseriusan kejadian di satu-satu wilayah.
Menurutnya, selagi kerajaan pusat dan jentera negara masih berupaya menangani kesan bencana di kawasan terlibat, pengisytiharan bencana nasional tidak dianggap perlu.
“Sekiranya sebagai sebuah negara kita masih mampu menangani bencana di tiga wilayah ini, maka kita tidak perlu mengisytiharkannya sebagai bencana nasional,” tegasnya.
Bagaimanapun, Prabowo menolak tanggapan bahawa keputusan tersebut bermaksud kerajaan memandang ringan penderitaan rakyat yang terjejas.
“Ini tidak bermakna kerajaan memandang isu ini sebagai perkara kecil. Ia tetap dianggap sangat serius,” katanya.
Sebagai bukti komitmen kerajaan, Prabowo memaklumkan bahawa kehadiran ramai anggota Kabinet Merah Putih di lokasi bencana menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan bantuan disalurkan dengan berkesan.
“Hari ini, berapa ramai menteri berada di sini? Itu membuktikan keseriusan kita,” katanya.
Beliau mendedahkan bahawa beberapa menteri sedang bertugas di Aceh Utara, manakala kira-kira 10 menteri lain berada di pelbagai lokasi di Aceh bagi memantau dan menyelaras operasi bantuan.
Selain Sumatera, Prabowo berkata kerajaan juga perlu membahagikan perhatian kepada wilayah lain yang turut berdepan pelbagai cabaran.
Namun begitu, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memberikan bantuan sepenuhnya kepada mangsa bencana.
“Kita memandang perkara ini dengan sangat serius dan kerajaan akan berusaha habis-habisan untuk membantu rakyat yang terkesan,” katanya.-Agensi