Curi kabel: Pekerja swasta miliki 17 rekod jenayah lampau ditahan

Iklan
Tangkap layar video tular memaparkan cubaan curi kabel di Sungai Lalang Semenyih pada Jumaat.

KUALA LUMPUR – Seorang pekerja swasta yang mempunyai 17 rekod jenayah lampau ditahan kerana disyaki cuba mencuri kabel di Sungai Lalang Semenyih di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, lelaki berusia 31 tahun itu ditahan di Semenyih pada jam 1.30 tengah hari Sabtu.

Iklan
Iklan

"Kita turut merampas sebuah motosikal yang dipercayai digunakan dalam kes jenayah itu," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Naazron berkata, ujian awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Iklan

"Suspek kini direman selama empat hari sehingga Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379/ 511 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat kes, Sarjan A Vaelmurgan di talian 0196111660 bagi membantu siasatan," katanya.

Iklan

Pada Jumaat media melaporkan, polis sedang giat mengesan suspek yang disyaki terlibat dalam kes cubaan curi kabel itu.

Naazron dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 2.08 petang, dengan kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 9.30 pagi.