KUALA LANGAT - Ahli keluarga memohon bantuan orang ramai mengesan Nurul Nazla Abdul Halim yang dilaporkan hilang sejak Sabtu.
Adiknya, Nadia berkata, Nurul Nazla, 42, gagal dikesan selepas menziarah suaminya yang sedang menerima rawatan di Hospital Shah Alam pada jam 2 petang.
"Sebelum keluar dari hospital, kakak memaklumkan kepada abang ipar mahu mencari makan di kawasan Sijangkang, Telok Panglima Garang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Nadia berkata, kakaknya memandu sebuah kenderaan utiliti sukan Proton X50 dilaporkan kali terakhir berhubung dengan suaminya melalui aplikasi WhatsApp pada jam 3.01 petang di Batu 5, Johan Setia, Klang.
"Kakaknya memaklumkan ada sekatan jalan raya Jabatan Pengangkutan Jalan dan meminta mendoakan dia lepas daripada sekatan jalan raya itu.
"Selepas itu, dia tidak balas apa-apa mesej serta tidak menjawab panggilan telefon dari ahli keluarga," katanya.
Tambahnya, ahli keluarga melakukan pencarian di kawasan berhampiran, namun gagal menemui Nurul Nazla.
"Kakak tiada masalah rumah tangga. Laporan mengenai kehilangan Nurul Nazla telah dibuat di Balai Polis Telok Panglima Garang pada jam 12.06 tengah malam tadi.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau saya di talian 017-2918662," katanya.