KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh menepis dakwaan bahawa penganjuran konvensyen khas itu mendapat tentangan daripada pimpinan parti.
Beliau mendedahkan bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi individu pertama menyatakan persetujuan terhadap program tersebut.
"Desakan keluar (menjadi pembangkang) adalah saya secara peribadi dan akar umbi. Presiden merestui apabila kita hendak buat konvensyen untuk dengar suara akar umbi.
"Walaupun tahu mungkin akar umbi marah dan sebagainya tetapi beliau berjiwa besar untuk mendengar segalanya.
"Tiada akar umbi, saya percaya tiadalah UMNO dan pemimpin UMNO hari ini. Sebab itu kita buat konvensyen dan akan absah dalam Perhimpunan Agung UMNO, itulah keputusan parti yang akan kita dapat nanti," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Sabtu.
Sementara itu, Mohamad Akmal ketika berucap berkata, keberanian Ahmad Zahid mempertahankan prinsip parti walaupun berdepan risiko politik wajar dihargai dan diberi sokongan oleh seluruh ahli UMNO.
"Saya beritahu Datuk Seri Presiden, kalau UMNO tarik diri daripada Kerajaan Perpaduan, orang pertama yang akan kena ialah presiden.
"Jawapan beliau sangat jelas, jika itu permintaan akar umbi demi agama dan bangsa, beliau sanggup lawan habis-habisan.
“Ramai mungkin tidak bersetuju dengan presiden, tetapi kita perlu akui keberanian beliau. Jika ada pemimpin yang sanggup mengorbankan kepentingan peribadi demi parti, itulah kepimpinan yang perlu kita pertahankan,” katanya.