Jambatan runtuh, penduduk Kampung Sungai Mok terputus hubungan

Iklan
Anggota polis membantu memindahkan penduduk berisiko menggunakan bot selepas jambatan menghubung Kampung Sungai Mok runtuh pada Jumaat. Foto: Polis Rompin

ROMPIN - Penduduk Kampung Sungai Mok di sini terputus hubungan apabila jambatan utama yang menghubungkan kampung berkenaan runtuh pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, jambatan itu dipercayai runtuh kira-kira jam 8 pagi hingga menjejaskan kira-kira 100 penduduk.

Iklan
Iklan

Susulan itu beliau berkata, polis menggerakkan misi bantuan kemanusiaan bagi melaksanakan pemindahan mangsa berisiko termasuk ibu mengandung dan warga emas.

Menurutnya, mangsa dipindahkan terdiri wanita berusia 25 tahun yang dijangka bersalin pada 7 Januari ini, warga emas serta kanak-kanak bagi memudahkan urusan mendapatkan rawatan hospital dan keperluan lain.

Iklan

Katanya, tindakan awal itu dilakukan sebagai persediaan mengelak kesukaran dihadapi pasukan penyelamat sekiranya proses pemindahan terpaksa dilakukan dalam cuaca buruk.

"Berdasarkan ramalan cuaca dikeluarkan, kita masih lagi musim monsun dan kerosakkan jambatan kecil itu akan menyukarkan proses pemindahan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini," jelasnya.

Iklan

Sharif Shai berkata, setakat ini penduduk kampung yang lain memilih untuk tinggal di rumah masing-masing.

"Ada antara mereka masih boleh menggunakan jalan ladang ke Kampung Denai untuk keluar ke Tanjung Gemok mengambil masa kira-kira satu jam.

"Sekiranya keadaan bertambah serius kami akan mmeneliti kemungkinan untuk pindahkan penduduk yang lain sekiranya perlu. Setakat ni tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka," ujarnya.

Beliau berkata, tindakan pantas polis itu menunjukkan keprihatinan terhadap keselamatan mangsa serta kesiapsiagaan dalam menghadapi situasi kecemasan.