KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sejauh mana penglibatan seorang peguam yang disyaki bersubahat membawa masuk dadah ke Penjara Marang.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, keputusan sama ada suspek akan didakwa di mahkamah atau disambung reman bergantung sepenuhnya kepada hasil siasatan yang sedang dijalankan ketika ini.
Menurutnya, tempoh reman terhadap peguam lelaki berusia 32 tahun itu akan tamat pada Ahad ini.
“Buat masa ini, pihak polis tidak boleh mendedahkan sebarang modus operandi berkaitan kes berkenaan bagi mengelakkan gangguan terhadap siasatan.
“Bagaimanapun, polis meminta seorang wanita, Nurul Norasikin Aladin, 30, yang beralamat di Kampung Batin, Seberang Takir di sini, supaya tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Beliau berkata, Nurul Norasikin yang lebih dikenali sebagai ‘Ikin’ juga boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Mohammad Azmi Awang Lah di talian 010-9213516.
Beliau turut berkata, orang awam yang mengetahui keberadaan wanita berkenaan diminta menyalurkan maklumat kepada balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
Media pada Khamis melaporkan seorang peguam ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang banduan membawa masuk dadah ke Penjara Marang.
Mohd Khairi ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu berkata, lelaki berkenaan dipercayai bersubahat membawa masuk dadah ke penjara terbabit pada 23 Disember lalu melalui seorang banduan lelaki yang juga merupakan anak guamnya, selepas selesai menjalani perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.
Katanya, suspek ditahan di Jalan Hiliran, Pulau Kambing di sini kira-kira jam 10.45 pagi pada 29 Disember lalu.