Lelaki didakwa cederakan ibu bapa guna pedang samurai

Iklan
Muhammad Aiman didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas dua pertuduhan mencederakan ibu bapanya sehingga parah menggunakan pedang samurai pada Disember lepas. Foto Bernama

IPOH - Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas dua pertuduhan mencederakan ibu bapanya dengan menggunakan pedang samurai sehingga parah, Disember lepas.

Muhammad Aiman Suhaimi, 30, mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Aiman didakwa menyebabkan cedera parah terhadap Suhaimi Dawi, 58, dan Shahaliza Ahmad Hashim, 58, dengan menggunakan pedang samurai di sebuah rumah di Bandar Baru Putra dalam daerah Kinta pada jam 6.30 pagi 26 Disember.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 326/326A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat manakala Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum yang boleh dikenakan atas sabitan kesalahan itu.

Iklan

Timbalan Pendakwa Raya M. Raveenaa tidak menawarkan jaminan dan memohon agar tertuduh yang tidak diwakili peguam dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta bagi pemeriksaan mental.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dan menetapkan 30 Januari untuk sebutan semula kes.

Iklan

Pada 26 Disember, polis mengesahkan menahan seorang lelaki kerana mengamuk dan mencederakan dua ahli keluarganya di sebuah rumah di Bandar Baru Putra di sini. - Bernama