NEW YORK – Zohran Mamdani pada Khamis secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar New York dengan ikrar melaksanakan agenda agresif bagi menjadikan bandar terbesar di Amerika Syarikat itu lebih mampu didiami golongan pekerja.
Mamdani, 34, daripada kelompok demokrat sosialis Parti Demokrat, memenangi pilihan raya bandar raya pada November lalu dalam satu kemenangan penting yang berpotensi mempengaruhi landskap politik nasional menjelang pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat.
Iklan
Iklan
Dalam ucapan sulungnya di hadapan City Hall, beliau menegaskan pentadbirannya akan berpaksikan kepentingan rakyat, bukan golongan elit ekonomi.
“Kami akan menjawab kepada semua warga New York, bukan kepada mana-mana bilionair atau oligarki yang menyangka mereka boleh membeli demokrasi kami,” ujarnya.
Antara janji utama yang diketengahkan ialah penjagaan kanak-kanak sejagat, sewaan rumah mampu milik dan perkhidmatan bas percuma.
Majlis pelantikan itu turut disertai Senator Bernie Sanders dan Ahli Dewan Perwakilan, Alexandria Ocasio-Cortez. Sorakan “tax the rich” bergema apabila Sanders menyeru jutawan dan bilionair membayar cukai lebih tinggi.
Walaupun suhu di bawah paras beku, ribuan orang hadir di City Hall, manakala kawasan tontonan khas disediakan di sepanjang Broadway bagi mengikuti siaran langsung majlis tersebut.