Kutipan Zakat MAINPP hampir capai sasaran RM200 juta

Iklan
Mohamad (kiri) menunjukkan angka bagi kutipan Zakat MAINPP bagi tahun lalu.

GEORGE TOWN – Kutipan Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) mencatatkan pencapaian memberangsangkan apabila hampir mencapai sasaran RM200 juta bagi tahun 2025, sekali gus melebihi kutipan tahun sebelumnya berjumlah RM172.8 juta.

Yang Dipertua MAINPP, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, sehingga menjelang tahun baharu 2026, jumlah kutipan direkodkan sebanyak RM196.54 juta, melibatkan zakat harta berjumlah RM187.65 juta dan zakat fitrah sebanyak RM8.9 juta.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, jumlah kutipan sebenar dijangka melepasi sasaran RM200 juta selepas proses penyelarasan akaun yang akan dilaksanakan dalam tempoh dua minggu, dengan jumlah rasmi akan dimuktamadkan pada 17 Januari ini.

Katanya, peningkatan kutipan melebihi 10 peratus berbanding tahun 2024 membuktikan tahap kepercayaan dan keyakinan masyarakat Islam terhadap integriti serta tadbir urus MAINPP yang sentiasa ditekankan oleh kepimpinan dan pengurusan MAINPP serta Zakat MAINPP.

Iklan

“Pencapaian ini merupakan hasil usaha bersepadu dan penggemblengan tenaga semua pihak termasuk pengurusan MAINPP, pengurusan dan warga kerja Zakat MAINPP selaku agensi pelaksana, rakan strategik serta sokongan berterusan masyarakat Islam dan sektor korporat di Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau menambah, peningkatan kutipan zakat juga didorong oleh kesedaran yang semakin tinggi dalam kalangan pembayar zakat untuk menunaikan kewajipan mereka kepada MAINPP, susulan keyakinan terhadap pelaksanaan pelbagai program pembangunan asnaf di negeri ini.

Iklan

Dalam pada itu, Mohamad berkata, MAINPP yakin iltizam berterusan dapat direalisasikan melalui perancangan strategik, penambahbaikan sistem perkhidmatan zakat serta kempen kesedaran yang berterusan.

“Kutipan zakat ini akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkasa golongan asnaf menerusi pelbagai program pembangunan ekonomi, pendidikan, kebajikan dan kesejahteraan ummah seperti yang digariskan dalam Agenda Pembangunan Agama Islam 2030 Negeri Pulau Pinang (APAI2030),” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, MAINPP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pembayar zakat atas kepercayaan dan komitmen yang diberikan, selain menghargai sumbangan warga kerja Zakat MAINPP.

Beliau turut mengajak seluruh masyarakat Islam di Pulau Pinang untuk terus menunaikan zakat melalui MAINPP demi manfaat bersama ummah.