KANGAR – Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis diyakini tidak akan mengusul usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah di dalam menjaga kestabilan negeri ini.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan berkata, beliau percaya dengan kebijaksanaan semua ADUN Perlis dalam menjaga kepentingan semua pihak.
Menurutnya, titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang menyeru agar semua pihak kembali bersatu demi rakyat juga perlu difahami dan disambut oleh semua.
“(Usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar), saya rasa tidak mungkin berlaku sebab kita pun melihat titah Tuanku, sebab itu apabila Tuanku bertitah, kita kaji balik perkara-perkara berkaitan pilihanraya,” katanya pada Rabu.
Beliau berkata demikian pada sidang media Speaker DUN Perlis di Kompleks Seri Putra, di sini.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa kedudukannya sebagai Speaker diserahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Menteri Besar.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan bahawa ADUN-ADUN Pas tidak akan menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang akan dibentuk oleh Menteri Besar baharu.
Beliau menegaskan semua anggota Exco sedia ada daripada PAS akan melepaskan jawatan masing-masing sebagai tanda solidariti dan seiring dengan peletakan jawatan bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
Namun begitu, Takiyuddin menekankan bahawa parti itu akan meneruskan kelangsungan dan keberadaan parti itu dalam Kerajaan Negeri Perlis selaras dengan mandat yang telah diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).