SEPANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan melaksanakan penambahbaikan proses pengimbasan dan pengesanan barangan kontraban terhadap penumpang antarabangsa yang berlepas dari Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bermula Khamis.
JKDM dalam kenyataan media memaklumkan, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha pengoptimuman aliran pergerakan trafik penumpang di lapangan terbang.
Iklan
Iklan
"Sejajar dengan penyelarasan operasi yang telah dipersetujui, proses pengimbasan keselamatan di pintu pelepasan Terminal 1, KLIA akan dilaksanakan oleh Bahagian Keselamatan Penerbangan (AVSEC) Malaysia Airports, selaras dengan fungsi dan piawaian keselamatan penerbangan awam yang ditetapkan," katanya.
Menurut kenyataan itu, pendekatan tersebut memperkukuh kerjasama operasi antara JKDM, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dan AVSEC melalui pengimbasan berasaskan petunjuk risiko, risikan dan analisis trend semasa.
"Sekiranya hasil pengimbasan atau pemerhatian keselamatan menimbulkan kecurigaan atau mengesan potensi kesalahan melibatkan barangan larangan termasuk dadah, hidupan liar atau instrumen boleh niaga, penumpang serta barangan berkenaan akan ditahan dan diserahkan kepada JKDM dan agensi yang berkaitan untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.
Dalam pada itu, JKDM telah melaksanakan langkah proaktif dengan menjalinkan kerjasama strategik bersama pihak AVSEC melalui Kursus Pengecaman Imej Imbasan Kontraban bagi pegawai-pegawai AVSEC pada 22 dan 23 Disember di Malaysia Airports Academy (MAA) dan Terminal 1, KLIA yang melibatkan 33 pegawai AVSEC.
"Penambahbaikan ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dan agensi berkaitan untuk memastikan kelancaran operasi lapangan terbang, keselamatan, pematuhan undang-undang serta perlindungan kepentingan negara sentiasa terpelihara," katanya.