PARIS - Kerajaan Perancis menangguhkan larangan penggunaan cawan plastik pakai buang sehingga tahun 2030 berikutan kesukaran mencari alternatif yang sesuai, lapor South China Morning Post pada Selasa.
Kementerian Peralihan Ekologi memaklumkan keputusan itu dibuat selepas semakan mendapati wujud cabaran dari segi kebolehlaksanaan teknikal untuk menghapuskan penggunaan plastik dalam pengeluaran cawan.
Iklan
Iklan
Larangan tersebut sepatutnya berkuat kuasa pada 1 Januari ini.
Menurut dekri rasmi, satu semakan baharu akan dijalankan pada 2028 bagi menilai kemajuan penggantian cawan plastik pakai buang.
Pelaksanaan larangan kini dijadual bermula pada 1 Januari 2030, dengan tempoh peralihan 12 bulan diberikan kepada syarikat untuk menghabiskan stok sedia ada.
Keputusan itu bagaimanapun menerima kritikan daripada jurucakap Zero Waste France, Manon Richert yang menyifatkan penangguhan tersebut sebagai satu langkah ke belakang dalam usaha menangani pencemaran akibat penggunaan plastik.
Perancis sebelum ini dilaporkan menjadi negara pertama mengharamkan penggunaan cawan dan pinggan plastik susulan kesedaran mengenai pencemaran sungai serta laut menerusi undang-undang yang diluluskan pada 2020.