SHAH ALAM – Usaha pemulihan sistem pendawaian elektrik di 128 unit kediaman Blok C, Pangsapuri Seri Perantau, Pelabuhan Klang sedang dilaksanakan secara berperingkat dengan mengutamakan aspek keselamatan dan keperluan asas penduduk.
Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, pendekatan itu diambil selepas pemeriksaan teknikal menyeluruh mendapati skop kerja baik pulih lebih luas daripada jangkaan awal susulan insiden kebakaran di bilik papan agihan elektrik (DB) pada 7 Disember lalu.
Beliau berkata, pendekatan pemulihan secara berfasa perlu dilaksanakan dengan teliti dan berhemah agar setiap langkah yang diambil mematuhi aspek keselamatan serta standard teknikal yang ditetapkan.
“Kerajaan Selangor akan terus memantau perkembangan semasa dan memastikan semua tindakan susulan dilaksanakan secara menyeluruh demi kesejahteraan penduduk terlibat,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut Borhan, kerajaan negeri kini sedang menyelaras tindakan susulan dengan penekanan kepada pelaksanaan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), selain kerjasama teknikal dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Beliau yang turut mempengerusikan mesyuarat penyelesaian isu berkenaan pada Isnin berkata, tumpuan utama kini adalah untuk meneliti langkah penyelesaian segera, selain merangka pelan jangka panjang supaya kebajikan penduduk terus terpelihara.
“Mesyuarat ini memberi fokus kepada tindakan jangka pendek dan sederhana, khususnya bagi memastikan keselamatan penduduk tidak terjejas serta keperluan asas mereka dapat dipenuhi,” tambah beliau.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan kira-kira 600 penduduk melibatkan 128 unit rumah di flat berkenaan terus berdepan kesukaran hidup selepas tidak menerima bekalan elektrik susulan kebakaran mengejut di bilik DB sejak 7 Disember lalu.