SHAH ALAM – Kucing pempengaruh haiwan terkenal, Johan And His Cats, dikenali sebagai Jellybean, disahkan mati pada 25 November lalu, sekali gus meninggalkan kesan bukan sahaja kepada pemiliknya, malah ribuan pengikut yang mengikuti perjalanan hidup haiwan itu di media sosial.
Perkara berkenaan dikongsikan Johan Eskandar Mohd Najib menerusi hantaran di Instagram selepas lebih sebulan menyimpan berita tersebut.
Menurut Johan, pemergian Jellybean berlaku secara tiba-tiba ketika haiwan itu berada dalam keadaan sihat tanpa sebarang tanda sakit.
"Dalam keadaan Jellybean sihat, baru lepas bermain dan makan, ALLAH ambil dia. Kejadian yang sangat tiba-tiba.
"Jellybean bukan sekadar kucing, dia princess (puteri) Johan, bayi (dan) princess semua orang," katanya.
Johan turut sertakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk tatapan orang ramai selain memilih untuk menerima pemergian itu dengan hati yang reda.
Jellybean yang berusia 10 tahun pernah mencipta nama sebagai model untuk beberapa iklan komersial termasuk jenama penerbangan terkenal AirAsia, sekali gus menjadikannya antara kucing tempatan paling dikenali di media sosial.
Dalam hantaran sama, Johan berkongsi bahawa pemergian Jellybean berlaku menjelang sambutan hari lahirnya pada Selasa.
"Esok hari lahir Johan dan kali ni Jellybean sudah tiada.
"Untuk terus kuat, Johan ambil keputusan untuk ke tanah suci lagi danterus berdoa. Insya-ALLAH balik nanti Johan lebih bersemangat,” ujarnya.