IPOH - [DIKEMAS KINI] Kawasan pelancongan baharu, Hobbitoon Village yang terletak di laluan Simpang Pulai-Cameron Highlands disahkan ditutup sementara susulan isu pematuhan lesen dan kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng berkata, penutupan berkenaan dibuat atas faktor keselamatan selepas difahamkan terdapat pembinaan di kawasan tersebut yang belum memperoleh kelulusan sepenuhnya daripada PBT.
"Secara umum, saya belum mendapat maklumat terkini, namun sebelum ini saya difahamkan ada pembinaan yang belum mendapat kelulusan.
"Jadi atas faktor keselamatan, ia diarahkan untuk ditutup sementara sehingga memenuhi syarat yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perak Pawsitive Initiative 2025 di Dewan Megastar dekat Menglembu di sini pada Ahad.
Sandrea memaklumkan, kawasan pelancongan berkenaan berada di bawah seliaan Majlis Daerah Batu Gajah dan pihaknya akan menyemak semula perkara tersebut dengan pihak berkaitan.
Sementara itu, semakan laman Facebook mendapati, makluman rasmi penutupan Hobbitoon Village telahpun dibuat sejak September lalu.
Hobbitoon Village yang berkonsepkan perkampungan orang kerdil telah dibuka kepada umum sejak 1 Januari 2024.