Abu Bakar dilantik Menteri Besar Perlis baharu

Iklan
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis Abu Bakar Hamzah dilantik sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu. Foto Bernama.

ARAU - [DIKEMAS KINI] Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan melantik Abu Bakar Hamzah sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu menggantikan Mohd Shukri Ramli yang meletak jawatan pada Khamis.

Majlis Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis disempurnakan di Istana Arau dan selesai kira-kira 4.10 petang Ahad.

Iklan
Iklan

Pelantikan itu menjawab teka-teki siapa yang bakal menerajui Perlis setelah menteri besar meletak jawatan akibat faktor kesihatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis itu memegang jawatan Pengerusi Bersatu Negeri Perlis.

Iklan

Abu Bakar dilantik sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu menggantikan Mohd Shukri Ramli. Foto Bernama.

Beliau juga merupakan Timbalan Pengerusi I Perikatan Nasional (PN) Negeri dan Exco Kerajaan Negeri yang memegang portfolio Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan serta Pembangunan Luar Bandar.

Iklan

Sebelum ini, nama Abu Bakar disebut-sebut bakal menggantikan Mohd Shukri berdasarkan ketokohan dan kepimpinan beliau yang dicapai khususnya dalam pembangunan pelancongan negeri.

Media sebelum ini melaporkan, lapan ADUN Perlis menandatangani akuan bersumpah (SD) berikutan hilang sokongan terhadap Mohd Shukri.

Susulan itu, Pas membuat ketetapan bahawa tiga ADUN Pas dihentikan keahlian serta-merta.

Tiga ADUN tersebut ialah ADUN Chuping, Saad Seman, ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim.