LIVERPOOL dilaporkan sedang merangka pelan mengejut untuk membawa masuk penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Goncalo Ramos secara pinjaman ke Anfield.
Langkah drastik itu diambil sebagai penyelesaian jangka pendek susulan kecederaan serius yang menimpa penyerang utama mereka, Alexander Isak.
Isak, yang baru menyertai Liverpool dari Newcastle United mengalami kecederaan jangka panjang ketika membantu The Reds menewaskan Tottenham Hotspur 2-1 di Stadium Tottenham Hotspur.
Menurut laman web rasmi Liverpool, penyerang antarabangsa Sweden itu telah menjalani pembedahan akibat masalah buku lali yang turut melibatkan keretakan tulang fibula.
Tiada tempoh masa rasmi ditetapkan untuk kepulangannya, namun Pengurus Liverpool, Arne Slot membayangkan Isak akan tersisih selama beberapa bulan.
Laporan CaughtOffSide mendakwa Liverpool telah mengadakan perbincangan dalaman mengenai beberapa nama besar dan Ramos dikenalpasti sebagai calon utama.
Difahamkan, pengurusan The Reds sedang mempertimbangkan tawaran pinjaman selama enam bulan untuk pemain antarabangsa Portugal berusia 24 tahun itu pada jendela perpindahan Januari ini.
Liverpool melihat Ramos sebagai pengganti ideal yang mampu menyesuaikan diri dengan pantas, menawarkan intensiti tekanan yang tinggi serta naluri pemangsa di dalam kotak penalti sementara menunggu Isak pulih.
Meskipun Ramos dibeli PSG dengan harga €80 juta (RM381 juta) dan terikat kontrak sehingga 2028, dia kini bergelut untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama di bawah kendalian Luis Enrique.
Bekas bintang Benfica itu hanya memulakan lapan perlawanan Ligue 1 dan tidak pernah diturunkan dalam kesebelasan utama bagi aksi Liga Juara-Juara musim ini, situasi yang membuka ruang buat Liverpool memancingnya keluar dari Paris.