Memerang punca dua lori kemalangan

Iklan
Memerang didakwa punca kemalangan dua lori di Lebuh AMJ Paya Rumput pada awal pagi Sabtu. Foto IPD Melaka Tengah

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Sebuah lori sampah dan lori muatan ikan terbabit dalam kemalangan yang dipercayai berlaku akibat cuba mengelak seekor memerang melintas di Lebuh AMJ Paya Rumput di sini awal pagi Sabtu.

Komander Operasi, PBK I Jamian Saleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian 999 pada jam 5.42 pagi sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheng digerakkan ke lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jentera bomba tiba di lokasi kira-kira jam 5.48 pagi dan mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori sampah dan sebuah lori 10 tan.

“Dalam kejadian itu, dua mangsa dari lori sampah mengalami kecederaan, masing-masing seorang lelaki berusia 66 tahun dan seorang lelaki warga Nepal berusia 52 tahun.

Iklan

“Kedua-dua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam satu kenyataan.

Kerja pengalihan lori sampah yang terbabas. Foto IPD Melaka Tengah

Iklan

Beliau berkata, pemandu lori ikan berusia 36 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut Jamian, pasukan bomba menjalankan kerja-kerja pembersihan sisa kemalangan bagi memastikan keadaan selamat kepada pengguna jalan raya.

“Setelah memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.34 pagi dan pasukan kembali ke balai,” katanya.

Kerja pembersihan di lokasi kemalangan. Foto IPD Melaka Tengah

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit memaklumkan, pihak polis menempatkan anggota trafik bagi menjalankan kawalan lalu lintas di lokasi kejadian.

Katanya, aliran trafik di kawasan berkenaan berada pada skala dua dan terkawal sepanjang operasi dijalankan.