RAMALLAH - Seorang lelaki Palestin dilanggar pendatang haram Israel ketika menunaikan solat di tepi jalan berhampiran kampung Deir Jarir, timur laut Ramallah, Tebing Barat, semalam.
Menurut laporan media tempatan dan pengesahan tentera Israel, suspek bersenjata yang juga anggota simpanan tentera terlebih dahulu melepaskan tembakan di kawasan berkenaan sebelum memandu kenderaan jenis ATV dan melanggar mangsa yang sedang sujud di bahu jalan.
Rakaman video kejadian yang tular menunjukkan tindakan suspek yang disifatkan sebagai pelanggaran serius terhadap kuasa yang diberikan.
Tentera Israel dalam kenyataan memaklumkan suspek telah ditamatkan perkhidmatan serta-merta dan senjatanya dirampas.
Media Israel melaporkan individu terbabit kini dikenakan tahanan rumah sementara siasatan lanjut dijalankan.
Mangsa yang mengalami kecederaan telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. Keadaan semasa mangsa masih belum didedahkan secara rasmi.
Insiden berlaku dalam suasana ketegangan yang semakin memuncak di Tebing Barat, dengan peningkatan serangan oleh pendatang haram Israel ke atas penduduk Palestin.
Pada hari sama, lima penjarah Israel turut ditahan kerana membaling batu ke arah rumah penduduk Palestin, menyebabkan seorang bayi berusia lapan bulan cedera.
Pihak berkuasa Palestin dan kumpulan hak asasi manusia mengutuk keras serangan tersebut dan menyifatkannya sebagai sebahagian daripada pola keganasan yang semakin berleluasa oleh pendatang bersenjata di bawah perlindungan tentera Israel. - Awani