MBDK sedia laksana fi kelestarian mulai 2026

Iklan
Abd Hamid semasa berucap pada Mesyuarat Penuh Bulanan Disember MBDK di sini pada Rabu.

KLANG – Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bersiap siaga melaksanakan pengenaan fi kelestarian yang akan berkuat kuasa di seluruh Selangor bermula 1 Januari tahun depan.

Datuk Bandar Klang, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, pelaksanaan fi itu adalah selaras dengan dasar kerajaan negeri yang menetapkan caj dikenakan kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa semasa pendaftaran masuk di semua premis penginapan mengikut kadar semalaman berdasarkan kategori premis.

Iklan
Iklan

Menurutnya, MBDK menyokong penuh inisiatif itu kerana ia bertujuan menampung kos pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur pelancongan, selain meningkatkan kualiti pengalaman pelancong yang berkunjung ke negeri ini.

"Fi kelestarian ini juga akan digunakan bagi membiayai inisiatif pemeliharaan alam sekitar dan memastikan kelangsungan dan kelestarian industri pelancongan di Selangor," katanya semasa berucap pada Mesyuarat Penuh Bulanan Disember MBDK di sini pada Rabu.

Iklan

Abd Hamid berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu akan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan dan pengusaha premis penginapan bagi memastikan pelaksanaan fi berkenaan berjalan lancar serta mematuhi garis panduan ditetapkan.

"Usaha ini sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memperkukuh imej Selangor sebagai destinasi pelancongan lestari dan mampan, selari dengan Dasar Pelancongan Negara 2020 hingga 2030," tambah beliau.

Iklan

Sinar Harian pada 21 November lalu melaporkan, Selangor bakal memperkenalkan fi kelestarian kepada pengunjung bermula 1 Januari 2026 bagi memastikan kelestarian warisan dan alam sekitar terus terpelihara

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, mekanisme kutipan akan dijalankan oleh PBT, manakala pihak hotel hanya berperanan sebagai pengurus.

Menurut Suee Lim, fi kelestarian ditetapkan mengikut jenis penginapan iaitu RM7 untuk hotel lima bintang, RM5 untuk hotel empat bintang, RM3 untuk hotel tiga bintang dan RM2 untuk homestay atau AirBNB.

Fi Kelestarian ditetapkan sebanyak RM7 bagi hotel bertaraf empat dan lima bintang setiap bilik semalam, manakala hotel satu hingga tiga bintang dikenakan RM5 semalaman.

Bagi hotel bajet dan asrama pelancongan, kadar dikenakan adalah RM2 bagi setiap bilik semalam, manakala hotel tanpa penggredan dikenakan RM5.00.

Fi berkenaan turut melibatkan tapak perkhemahan dan kenderaan bagi tujuan penginapan seperti campervan dengan masing-masing dikenakan RM3.00 semalaman.

Selain itu, tempat penginapan yang berdaftar di bawah mana-mana program anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) turut dikenakan fi kelestarian sebanyak RM3 bagi setiap bilik semalam.