TEL AVIV - Tentera Israel merancang mahu mempersenjatai kira-kira 10,000 askar simpanan di bawah rancangan jahat untuk menubuhkan 'skuad pembunuh'.
Akhbar Yedioth Ahronoth melaporkan pelan itu akan dilaksanakan terhadap Divisyen 'David' (96) yang ditubuhkan kira-kira setahun lalu dan dianggotai askar simpanan berusia 40 hingga 60 tahun yang berkhidmat secara sukarela.
Iklan
Iklan
"Mereka akan dipersenjatai dengan raifal M4 atau M16 yang dinaik taraf, bekalan peluru, ves tempur dan topi keledar. Ia akan dihantar secara terus ke kediaman mereka di wilayah diduduki," menurut laporan itu lagi.
Difahamkan, raifal tersebut akan kekal berada dalam simpanan mereka meskipun ketika tidak menjalankan tugas sebagai askar simpanan.
Tentera Israel memberi alasan ia kononnya sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang situasi kecemasan jika berlaku serangan mengejut.
Namun, beberapa pengkritik percaya ia sebenarnya melibatkan operasi sulit untuk menyasarkan dan menembak mati penduduk Palestin.
Menurut data rasmi, rejim Israel mempunyai kira-kira 400,000 askar simpanan yang turut dikerahkan untuk menyertai perang ganas di Genting Gaza. - Agensi