Seorang dikhuatiri lemas kereta terjunam dalam sungai

Iklan
Operasi mencari serta menyelamat masih diteruskan di lokasi kejadian. Foto: JBPM

ALOR SETAR – Sebuah kereta dilaporkan terjunam ke sungai bersama seorang mangsa di dalamnya di Jalan Ampang Bay, Persiaran Taman Jeragan di sini pada Isnin.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Timbalan Penguasa Ismail Mohd Zin berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Negeri Kedah menerima panggilan kecemasan melalui talian 999 pada jam 10.37 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar digerakkan ke lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kira-kira jam 10.43 pagi, sebuah kereta didapati terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai dan dipercayai terdapat seorang mangsa berada dalam kenderaan berkenaan.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa giat dijalankan. Foto: JBPM

Iklan

"Susulan itu, bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) serta bot telah dimohon bagi melancarkan operasi mencari dan menyelamat.

“Seramai 19 anggota termasuk sembilan anggota PPDA terlibat dalam operasi ini dengan kekuatan beberapa jentera dan sebuah bot aluminium,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, dua anggota PPDA telah melakukan selaman bagi mengesan kedudukan kenderaan tersebut bermula jam 12.43 tengah hari, manakala pasukan bot menjalankan pemantauan serta pencarian di permukaan air.

Pasukan PPDA menyertai operasi mencari dan menyelamat. Foto: JBPM

Katanya, operasi turut melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Laut Malaysia.

Setakat ini, status dan identiti mangsa masih dalam siasatan serta operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan di lokasi kejadian.