TUMPAT — Seorang pemandu bersama dua kelindan bertindak terjun dari lori dan melarikan diri ke kawasan semak, meninggalkan lebih lapan tan minyak masak peket disyaki untuk diseludup di Kampung Bunohan, di sini pada Isnin.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, pihaknya bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3 Pengkalan Kubor sebelum itu mengesan sebuah lori jenis Isuzu dalam keadaan mencurigakan pada jam 2.57 petang.
Iklan
Iklan
“Pasukan penguat kuasa mengekori lori berkenaan dan ketika diserbu, pemandu lori bersama dua individu dipercayai kelindan bertindak melarikan diri sebaik kenderaan dihentikan.
“Pemeriksaan di ruang menyimpanan lori, pihak kami menjumpai 450 kotak berisi minyak masak peket bersubsidi pelbagai jenama disyaki untuk tujuan penyelewengan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, lori bernilai RM45,000 terbabit disita bersama minyak masak seberat 8,330 kilogram dengan nilai RM20,825, menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM65,825.
“Usaha mengesan suspek-suspek dilakukan hampir dua jam di sekitar lokasi serbuan, tapi gagal dan tiada individu tampil mengaku sebagai pemilik kenderaan serta barangan rampasan,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan.