KUALA LUMPUR – [KEMAS KINI] Pihak pembelaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, akan merayu keputusan yang menolak permohonan untuk memaksa kerajaan melaksanakan Titah Adendum bagi menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, 72, berkata demikian selepas Hakim, Alice Loke Yee Ching menolak permohonan semakan kehakimannya.
“Saya mohon mahkamah menyegerakan alasan penghakiman bagi membolehkan kami memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan,” kata peguam.
Alice kemudian memberitahu, alasan penghakiman penuh tersebut akan dibuat secepat mungkin.
Semasa prosiding, keluarga bekas ahli politik itu kelihatan sugul selepas hakim berkenaan menolak permohonan berkenaan.
Najib yang duduk di baris hadapan diapit adik lelakinya, Tan Sri Nazir Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor kelihatan tenang namun sesekali menundukkan kepala.
Bekas pemimpin itu dibenarkan duduk di galeri awam bersama ahli keluarganya kerana prosiding itu merupakan permohonan melibatkan isu sivil.
Turut hadir ialah tiga anak lelakinya, Datuk Nazifuddin, Datuk Mohamad Nizar dan Norashman serta anak perempuan, Puteri Norlisa.
Selain itu pemimpin lain, antaranya Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan dan bekas Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah hadir memberi semangat kepada Najib.
Mereka tekun mendengar penjelasan Alice ketika membaca keputusan yang memakan masa hampir satu jam.
Rosmah, 74, kemudiannya meminta barisan peguam untuk menjelaskan tindakan seterusnya.