Sorok peluru hidup dalam anak patung, dua warga asing ditahan

Iklan
Helmi

BUKIT MERTAJAM- Polis menahan dua lelaki warga asing dan merampas 21 butir peluru hidup yang disorokkan di dalam anak patung dalam satu serbuan di sebuah bengkel kontena di Perai pada awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, serbuan dijalankan oleh sepasukan polis dari Balai Polis Perai kira-kira jam 1 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil serbuan itu membawa kepada penahanan dua suspek berusia 39 dan 53 tahun.

“Pemeriksaan lanjut ke atas salah seorang suspek telah menemukan sepucuk senjata api jenis Revolver 0.38 yang disembunyikan di pinggang seluar,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Beliau berkata, selain peluru yang disorokkan di dalam sebuah anak patung, polis turut menjumpai beberapa jenis dadah yang disembunyikan di dalam sebuah kenderaan.

“Dadah yang dirampas melibatkan methamphetamine seberat 931.43 gram, ganja seberat 126 gram serta 10 biji pil eramin 5 seberat 3 gram.

Iklan

"Selain itu, sebuah kenderaan jenis Nissan Almera dan peralatan menghisap dadah turut dirampas bagi membantu siasatan," ujarnya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 serta Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kedua-dua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam dan direman selama tujuh hari sehingga 27 Disember untuk siasatan lanjut," katanya.