Makkal Sakti tidak berniat gantikan MIC dalam BN - Thanenthiran

Iklan
Ahmad Zahid menerima resolusi Parti Makkal Sakti yang disampaikan oleh Thanenthiran pada Perhimpunan Agung Tahunan ke-17 Parti Makkal Sakti pada Sabtu. Foto Bernama

BUTTERWORTH - Parti Makkal Sakti tidak pernah berhasrat untuk menggantikan kedudukan MIC dalam Barisan Nasional (BN), kata Presidennya, Datuk Seri RS Thanenthiran.

Beliau berkata, parti berusia 17 tahun itu juga tidak akan mengambil kesempatan terhadap sebarang pergolakan dalaman antara MIC dan BN dengan menawarkan Makkal Sakti sebagai alternatif kepada masyarakat India.

Iklan
Iklan

Sebaliknya, katanya, Makkal Sakti akan bekerjasama dengan MIC demi pembangunan kaum India di negara ini.

"Perjuangan MIC membela masyarakat India di negara ini sudah melebihi 70 tahun dan ia perlu dihormati. Kami tidak akan sesekali menentang MIC, itu prinsip kami.

Iklan

"Makkal Sakti bukan alternatif kepada MIC. Kami bekerjasama dengan MIC untuk memperkukuh suara bersama demi kesejahteraan masyarakat India di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Agung Tahunan Parti Makkal Sakti ke-17 di sini pada Ahad.

Terdahulu, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri merasmikan perhimpunan berkenaan yang turut dihadiri Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Iklan

Selain itu, Thanenthiran berkata, hubungannya dengan MIC serta Presidennya Tan Sri SA Vigneswaran sangat rapat dan diibaratkan seperti adik-beradik.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, setakat ini tiada keputusan muktamad dibuat mengenai kedudukan MIC dalam BN, walaupun tersebar salinan surat berhubung permohonan semula parti itu untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).

Pada Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 November lepas, parti itu memutuskan untuk menangguhkan keputusan sama ada akan keluar atau kekal dalam BN, namun Vigneswaran berkata, ketiga-tiga usul termasuk cadangan keluar daripada BN telah diterima dan diserahkan kepada pimpinan parti.

Dalam perkembangan lain, Thanenthiran dalaman ucapan dasarnya meminta agar Pelan Tindakan Masyarakat India yang dilancarkan pada 2017 diberi perhatian dan dilaksanakan secara menyeluruh. - Bernama