KUALA LUMPUR - Malaysia Relief Agency Selangor (MRAS) memperkukuhkan komitmen terhadap pembangunan pendidikan, pengisian rohani dan sokongan komuniti melalui penganjuran PRIhatin Live! 2026 sebagai platform memperincikan hala tuju program kebajikan bagi tahun hadapan.
Program yang menghimpunkan wakil kerajaan negeri, sektor korporat, yayasan dan individu dermawan itu turut menjadi medan MRAS berkongsi impak pelaksanaan inisiatif kemanusiaan sepanjang tahun lalu, selain merangka perancangan lebih tersusun menjelang 2026.
PRIhatin Live! 2026 memfokuskan pembentangan projek MRAS yang menyantuni golongan miskin bandar, keluarga berpendapatan rendah, ibu tunggal, kanak-kanak rentan, remaja berisiko dan warga emas di Selangor, dengan penekanan kepada pendidikan nilai, pengisian rohani serta sokongan komuniti secara berterusan.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Anfaal Saari menekankan, keperluan pendekatan kebajikan berasaskan empati dan pembangunan insan agar seiring dengan dasar kerajaan negeri serta keperluan sebenar masyarakat.
"Peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) amat signifikan kerana keupayaan mereka mendekati komuniti dan memahami cabaran sebenar di lapangan, khususnya dalam berdepan isu sosial yang semakin kompleks di kawasan bandar," katanya.
Sebelum ini, Anfaal merasmikan majlis berkenaan yang berlangsung di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC), Bukit Kiara di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi MRAS Selangor, Sharifah Nor Syed Mohamad berkata, MRAS tidak berhasrat menggantikan peranan mana-mana pihak khususnya agensi kerajaan, sebaliknya berfungsi melengkapkan ekosistem sedia ada dengan mengisi keperluan kecil di peringkat akar umbi.
Antara inisiatif utama dilaksanakan termasuk program The Sing Along Series untuk kanak-kanak, Siri Asuhan Pemimpin Muda bagi pelajar universiti di bawah pendekatan Training The Trainer, bantuan kewangan berkala kepada ibu tunggal menerusi inisiatif Tautan Prihatin serta Bantuan Kemanusiaan Kecemasan ketika bencana.
MRAS turut terlibat membekalkan sukarelawan perubatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Putra Heights selama tiga minggu, selain menyediakan bantuan awal dan sokongan komuniti ketika situasi kecemasan.
Selain itu, MRAS menyokong Darul Ukhwah, sebuah rumah kebajikan dan perlindungan komuniti Muslim yang hidup dengan HIV/AIDS, melalui kerjasama bersama Caring Pharmacy dengan penyediaan barangan keperluan perubatan dan bukan perubatan secara berkala.
PRIhatin Live! 2026 juga menjadi platform untuk membuka peluang kolaborasi strategik CSR dan ESG antara MRAS, sektor korporat dan yayasan bagi perancangan program yang lebih mampan dan berimpak.