GEORGE TOWN - Seorang penganggur mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membuat ugutan jenayah terhadap seorang ahli perniagaan di Mahkamah Majistret 3 di sini pada Jumaat.
Ooi Teik Kuan, 44 membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah dan mendatangkan ketakutan ke atas Chew Chee Hong, 46 dengan mengeluarkan kata kata hendak membunuhnya dan ahli keluarganya.
Oleh demikian, dia dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di alamat 58, Chew Jetty Weld Quay pada jam 9.18 pagi, 7 Februari lalu.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan penjara selama tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad manakala tertuduh diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Farah Hamizah Hasan Gani.
Ahmad Danial menawarkan jaminan RM6,000 terhadap tertuduh.
Dalam rayuannya, Farah memohon agar mahkamah mengenakan jaminan yang rendah berikutan tertuduh tidak mempunyai pekerjaan dan menanggung keluarga.
"Tertuduh tidak bekerja dan mengalami patah kaki.
"Dia juga menanggung ibunya yang sudah tua berusia 71 tahun. Mohon wang jaminan yang minimum," katanya.
Nadratun kemudiannya menetapkan jaminan RM3,500 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu atau mendekati mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Kes ditangguh sehingga 28 Januari untuk sebutan semula.