SKUAD Harimau Malaya berisiko terkeluar daripada kelompok 120 terbaik dunia selepas dijangka kehilangan hampir 23 mata dalam kemas kini ranking Persekutuan Bolasepak Antarabansga (FIFA).
Ketika ini, Malaysia berada di kedudukan ke-116 dunia dengan 1168.41 mata, namun unjuran laman analisis ranking bola sepak, FootyRankings meletakkan skuad negara bakal tergelincir sehingga sekitar ranking ke-122 dunia sekiranya pengiraan terkini dimuktamadkan.
Kemerosotan itu berpunca daripada keputusan FIFA yang membatalkan tiga keputusan perlawanan melibatkan skuad kebangsaan susulan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) didapati melanggar Artikel 19 Kod Tatatertib FIFA (Edisi 2025) kerana menurunkan pemain yang tidak layak.
Dua kemenangan ke atas Singapura dan Palestin, selain satu keputusan seri menentang Cape Verde, dianggap tidak sah dan direkodkan sebagai kekalahan 0-3, sekali gus memadam rekod tanpa kalah yang dibina sepanjang tahun ini.
Perlawanan persahabatan turut diambil kira dalam pengiraan mata ranking FIFA, menyebabkan mata yang telah dikumpul Malaysia sebelum ini ditarik balik dan memberi kesan langsung terhadap kedudukan dunia skuad kendalian Peter Cklamovski.
Kedudukan rasmi ranking FIFA dijangka dikemas kini pada Jumaat.
Pada September lalu, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mengenakan hukuman penggantungan 12 bulan terhadap tujuh pemain warisan Harimau Malaya iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel atas dakwaan pemalsuan dokumen.
Selain digantung, pemain terbabit turut didenda CHF 2,000 (RM10,411) setiap seorang, manakala FAM pula dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta).
Dalam perkembangan berkaitan, bekas Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Azzuddin Ahmad menjangkakan hukuman lebih berat menanti FAM termasuklah penggantungan selain tindakan susulan pemotongan mata kempen kelayakan Piala Asia 2027 di bawah bidang kuasa Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
"Kalau perlawanan persahabatan pun FIFA boleh ambil tindakan dan pemain sama diturunkan dalam kejohanan, jadi tunggu masa sahaja lagi.
"Saya percaya tindakan AFC akan datang selepas kes CAS (Mahkamah Timbang Tara Sukan)," ujarnya di petik Stadium Astro.