JOHOR BAHRU – Polis mengesahkan penemuan mayat dipercayai lelaki di kawasan Sungai Bayu Puteri, di sini, pada Rabu.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, pihaknya menerima laporan mengenai perkara tersebut pada jam 5.58 petang sebelum sepasukan polis digerakkan ke lokasi kejadian.
“Mayat ditemukan dalam keadaan kembung, mereput dan sehingga kini, identiti si mati masih belum dikenal pasti.
"Hasil siasatan awal mendapati tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mangsa.
"Malah, cap jari juga tidak dapat disempurnakan berikutan keadaan kulit yang telah menggelupas dan bedah siasat yang dijalankan oleh Unit Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan punca kematian diklasifikasikan sebagai unascertained (decomposed body)," katanya.
Tambah Raub, setakat ini polis tidak menerima sebarang laporan mengenai orang hilang di Balai Polis Permas Jaya, Balai Polis Majidee dan Balai Polis Johor Jaya yang sepadan dengan fizikal mangsa.
"Setakat ini, polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti identiti si mati.
"Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai perkara tersebut diminta menghubungi Ketua Polis Balai Majidee, Inspektor Khairul Naqwan, atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya