'ALLAH memang nak selamatkan kami'

Iklan
Keadaan runtuhan struktur hadapan rumah Kamal Ariffin (gambar kecil) dalam kejadian awal pagi Khamis.

SEREMBAN – “ALLAH memang nak selamatkan kami, kalau tak mesti kami dah berada di bawah runtuhan itu.”

Demikian kata Kamal Ariffin Md Arif, 51, yang terselamat selepas struktur bahagian hadapan rumahnya di Taman Pinggiran Senawang, di sini runtuh menyembah bumi dalam kejadian sekitar jam 4.30 pagi pada Khamis.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika kejadian, dia sedang tidur namun dikejutkan oleh isterinya yang memberitahu terdengar bunyi dentuman dari arah hadapan rumah.

“Saya pun pergi ke bilik anak dan tengok siling plaster runtuh. Pada masa sama, masih dengar bunyi seperti struktur rumah nak runtuh.

Iklan

“Saya kemudiannya terus keluar rumah dan dengan serta-merta bahagian hadapan rumah kami runtuh sepenuhnya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, pada Khamis.

Keadaan struktur hadapan rumah Kamal Ariffin yang runtuh dalam kejadian awal pagi Khamis

Iklan

Beliau kemudian menjerit meminta tolong kerana bimbang isterinya yang masih berada di dalam rumah, namun lega selepas mengetahui isterinya telah keluar melalui pintu belakang.

Tambahnya, kejadian berlaku terlalu pantas dan mereka hanya sempat keluar sehelai sepinggang.

“Kalaulah saya tak bangun ketika isteri kejutkan, tak tahulah apa yang terjadi kepada kami,” katanya.

Kamal Ariffin yang bekerja sebagai Ketua Teknikal di syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) Seremban, menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengaitkan runtuhan tersebut dengan kerja ubah suai.

Kenderaan milik Kamal Arrifin turut mengalami kerosakan dalam kejadian runtuhan pada awal pagi Khamis

Jelasnya, rumah itu telah didiami sejak tahun 2012 manakala kerja ubah suai telah dilakukan kira-kira tujuh tahun lalu dan pemasangan panel solar pula dilakukan sekitar empat tahun lepas.

“Apa yang terjadi ini di luar jangkaan. Saya reda kerana yang penting kami selamat.

“Setakat ini saya tidak tahu punca kejadian dan saya serahkan kepada pihak berwajib untuk menjalankan siasatan,” ujarnya.

Kamal Ariffin turut memaklumkan, runtuhan tersebut mengakibatkan tiga kenderaannya mengalami kerosakan, iaitu sebuah Toyota Alphard, Toyota Yaris dan sebuah motosikal.