CIMB Islamic Bank Berhad memperuntukkan RM2.4 juta bagi memperkukuh Program iTEKAD, inisiatif teras bank itu dalam memperkasa sehingga 220 usahawan mikro, pekerja gig dan agropreneur menerusi sokongan kewangan, latihan keusahawanan serta pembangunan kapasiti.
Program berkenaan bertujuan meningkatkan pendapatan dan memperkukuh daya tahan ekonomi jangka panjang melalui tiga inisiatif utama di bawah satu platform, iaitu iTEKAD Program Keusahawanan CIMB Islamic–Taylor’s, iTEKAD CIMB Islamic Rider Entrepreneurship Programme dan iTEKAD CIMB Islamic Melon Manis Terengganu Graduate Agropreneur Programme.
Ketiga-tiga inisiatif ini menggunakan struktur pembiayaan hibrid yang menggabungkan geran padanan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) serta peruntukan dana Zakat Wakalah CIMB Islamic bagi memastikan penyaluran modal yang lebih bersasar untuk pertumbuhan pendapatan.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata, pemerkasaan kewangan tidak seharusnya terhad kepada penyelesaian jangka pendek semata-mata, sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada mobiliti ekonomi dan daya tahan jangka panjang.
“Melalui Program iTEKAD, kami berhasrat menyediakan komuniti kurang mendapat akses bukan sahaja sokongan kewangan, tetapi juga ilmu, kemahiran dan rangkaian bagi membantu mereka berkembang daripada kebergantungan kepada keupayaan berdikari serta pertumbuhan perniagaan,” katanya.
Beliau menambah, program tersebut mencerminkan komitmen berterusan CIMB Islamic terhadap kewangan inklusif dan keadilan sosial, selaras dengan matlamat bank untuk memajukan pelanggan dan masyarakat secara menyeluruh.
CIMB Islamic turut bekerjasama rapat dengan BNM serta rakan pelaksana termasuk Yayasan Belia Malaysia, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Lembaga Zakat Selangor, Taylor’s Community dan Foodpanda bagi merealisasikan agenda pemerkasaan komuniti dan penciptaan peluang pendapatan mampan.
Sejak diperkenalkan, iTEKAD CIMB Islamic Rider Entrepreneurship Programme telah membantu lebih 200 pekerja gig beralih kepada pemilikan perniagaan, dengan peluasan program daripada Lembah Klang ke Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, mencerminkan permintaan serta impak yang semakin meningkat.
Selari dengan program tersebut, Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Syed Zaid Albar baru-baru ini menyampaikan lebih 60 buah motosikal kepada pekerja gig dari Kuala Lumpur dan Selangor dalam satu majlis di Projek Perumahan Rakyat, Bukit Jalil.
Secara keseluruhan, inisiatif ini selari dengan program payung iTEKAD BNM yang menggalakkan pembiayaan sosial bersepadu termasuk wakaf, zakat dan pelaburan impak, bersama pembiayaan mikro serta pembangunan keusahawanan bagi menjana pendapatan mampan serta memperkukuh daya tahan ekonomi jangka panjang.