LANSING - Seorang wanita yang sarat hamil menjadi mangsa pembunuhan kejam ibu kandung dan bapa tirinya.
Jasad mangsa dikenali sebagai Rebecca Park tanpa kandungannya ditemui di sebuah hutan berhampiran Hutan Negara Manistee berhampiran tepi Tasik Michigan, Amerika Syarikat (AS) pada 25 November lalu.
Siasatan pihak berkuasa akhirnya membawa kepada penahanan ibunya, Cortney Bartholomew, 40, dan Bradley yang kini berdepan beberapa pertuduhan termasuk membunuh.
Operasi menjejaki Rebecca dilancarkan beberapa hari selepas wanita malang itu dilaporkan hilang.
"Mangsa yang sedang hamil 38 minggu berkunjung ke rumah pasangan itu di Boon pada awal November. Susulan penemuan mayatnya dalam keadaan mengerikan, kedua-dua suspek telah ditahan polis.
"Cortney bertindak kejam membelah perut anaknya sendiri dalam keadaan mangsa masih hidup setelah menikamnya. Ia jelas satu pembunuhan terancang.
"Perbuatan tidak berperikemanusiaan itu telah membunuh mangsa bersama bayinya. Jasad Rebecca kemudiannya ditinggalkan di hutan," kata Pendakwa Raya Daerah Wexford, Johanna Carey.
Cortney mengaku dia menggunakan pisau bedah untuk mengeluarkan janin tersebut atas alasan mahu menyelamatkannya dan memberikan bayi tersebut kepada tunang anaknya.
Bradly pula mendakwa seluruh rancangan pembunuhan itu dibuat isterinya kerana didorong keinginan yang mahukan lebih ramai anak.
Difahamkan, pasangan itu tidak boleh mengambil anak angkat kerana mempunyai rekod sebagai pesalah seks.