Miki Ghazali prospek emas

Iklan
Mikail Ghazali (kanan) mara ke final kategori 57kg Muay Thai lelaki selepas menewaskan wakil Laos, Thongbang Seuaphom yang berusia 36 tahun di separuh akhir.

PETARUNG Muay Thai negara, Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar, muncul prospek emas selepas mengesahkan tempat ke final acara lelaki 57 kilogram (kg) pada Sukan SEA Thailand 2025 dan bakal berdepan wakil tuan rumah, Suphakon Sirilun hari ini.

Mikail atau mesra disapa Miki mara ke pentas final selepas menewaskan wakil Laos, Thongbang Seuaphom dalam aksi separuh akhir di Stadium Tinju Lumpinee, Bangkok pada Selasa.

Iklan
Iklan

Atlet berusia 16 tahun itu beraksi agresif sejak awal perlawanan dan menguasai pusingan pertama apabila memaksa lawannya yang berusia 36 tahun menerima standing count, sekali gus memberi kelebihan mata 10-8.

Beliau meneruskan tekanan pada pusingan kedua untuk mendahului 10-9, sebelum Thongbang tampil lebih agresif pada pusingan ketiga dengan beberapa kombinasi berbahaya.

Iklan

Namun, kelebihan awal membolehkan Miki mengekalkan penguasaan sehingga tamat perlawanan.

Kejayaan itu melayakkan Miki mara ke final dalam penampilan sulungnya bersama skuad kebangsaan pada temasya dwitahunan berkenaan.

Iklan

Sebelum ini, adik kepada bintang Muay Thai sensasi negara, Johan ‘Jojo’ Ghazali Zulfikar itu menampilkan aksi meyakinkan apabila menewaskan wakil Filipina pada peringkat suku akhir menerusi serangan bertali arus yang memberi tekanan berterusan kepada lawan.

Di pentas final, Miki bakal berdepan cabaran getir menentang Suphakon yang menewaskan wakil Myanmar, Tit Saw Ah dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Pertarungan itu dijangka sengit memandangkan Suphakon akan beraksi di hadapan penyokong sendiri dan menerima sokongan padu penonton tuan rumah.

Terdahulu, Insyad Rumijam, Nur Amisha Azrilrizal, Wassof Rumijam dan Eva Anastasia Warren muncul sebagai finalis terawal Malaysia dan dijadual berentap merebut kilaun emas hari ini.