SERDANG – Farm Fresh Berhad mengesahkan komitmen berterusan sebagai rakan strategik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam Program Susu Sekolah (PSS) bagi tahun 2025.
Melalui program ini, Farm Fresh akan membekalkan susu UHT berkualiti tinggi kepada 381,000 murid dari 3,841 sekolah di seluruh negara, termasuk kawasan luar bandar, pedalaman dan pulau, dengan kontrak perbekalan lima tahun (2025-2029) melibatkan hampir 78 juta pek setahun.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Azmi Zainal berkata, pemakanan yang baik adalah asas kepada kecemerlangan pendidikan, kesihatan optimum serta pembentukan akhlak.
"Melalui PSS, kami bukan sekadar membekalkan susu, tetapi menyumbang kepada pembinaan generasi masa depan yang sihat dan cerdas.” katanya di Temasya Sambutan Hari Susu Sekolah Sedunia Farm Fresh @ Universiti Putra Malaysia di sini pada Selasa.
Seiring Sambutan Hari Susu Sekolah Sedunia, Farm Fresh melaksanakan pelbagai program CSR, termasuk Temasya Hari Susu Sekolah, lawatan pendidikan “School-to-Farm”, dermasiswa pelajar B40 STPM, kelas tuisyen matematik, pengedaran susu percuma serta program latihan graduan Protégé “Ready To Work”.
Usaha ini turut disokong Tetra Pak Malaysia dalam pendidikan kitar semula dan kesedaran kelestarian alam sekitar.
Farm Fresh menegaskan komitmen jangka panjang untuk menyediakan produk tenusu segar, sihat dan mampu milik, sambil menyokong pembangunan komuniti dan pembentukan generasi berilmu dan berakhlak mulia.