TAPAH - Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan menyerahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kemungkinan menyertai Kabinet.
Menurutnya, semua sedia maklum bahawa pelantikan menteri Kabinet merupakan hak mutlak Perdana Menteri.
Namun beliau masih memerlukan sokongan parti jika diberikan peluang menganggotai Kabinet.
"Itu (lantikan menteri) kita serah kepada Perdana Menteri. Itu memang prerogatif Perdana Menteri.
"Saya tak boleh buat keputusan sekiranya ada tawaran pun parti yang kena buat keputusan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan komputer riba kepada seramai 50 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di Pejabat MIC Bahagian Tapah di sini pada Ahad.
Saravanan yang juga Timbalan Presiden MIC berkata, sehingga kini tiada sebarang tawaran diterima berhubung perkara tersebut.
Jelasnya, pertemuan dengan Anwar memang sering dibuat tetapi perbincangan dibuat lebih tertumpu kepada isu-isu berkaitan masyarakat India.